Date:
to
Time:
–
Organizer:
Kompleks Kraf
50450 Kuala Lumpur,
Malaysia
Karnival Cuti-Cuti Malaysia (KCCM) 2024 yang akan diadakan di Kompleks Kraf, Jalan Conlay, Kuala Lumpur bakal menawarkan lebih 100 pakej pelancongan dengan tawaran diskaun menarik antara 15 sehingga 50 peratus. Karnival Cuti-Cuti Malaysia ini bakal berlangsung dari 25 hingga 27 Oktober 2024 di lokasi yang sama.
Karnival Cuti-Cuti Malaysia 2024 (KCCM 2024) merupakan acara julung-julung kali yang diperkenalkan melalui kerjasama strategik antara Tourism Malaysia dan Kraftangan Malaysia. Bertemakan ‘Crafting Holidays’, karnival ini menawarkan peluang kepada pelancong untuk merancang percutian sambil menikmati pengalaman secara langsung dalam aktiviti seni, kraftangan, dan budaya warisan tempatan.
Antara pakej pelancongan menarik dalam negara yang ditawarkan, merangkumi destinasi alam semula jadi, pengalaman budaya dan aktiviti pengembaraan. Pengunjung boleh menikmati tawaran percutian yang meliputi destinasi popular di seluruh Malaysia, serta aktiviti unik seperti jelajah warisan, sukan air, selam skuba, birding, stargazing dan pengembaraan alam. Acara ini juga menggabungkan pameran, jualan pakej percutian, produk kraftangan, serta demonstrasi budaya dan masakan.
YB Tuan Khairul Firdaus Akbar Khan, Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya berkata, penganjuran acara KCCM 2024 bertujuan merancakkan lagi aktiviti pelancongan domestik menerusi penjualan pakej pelancongan secara terus kepada pengguna selain menggalakkan rakyat Malaysia untuk merancang percutian di dalam negara.
“Pada masa yang sama, kita mahu membantu meningkatkan ekonomi penggiat industri tempatan menerusi penglibatan lebih 100 wakil industri yang terdiri daripada jabatan pelancongan negeri, agensi pelancongan, pemilik produk pelancongan, hotel, taman tema serta pengusaha kraftangan. Ini juga akan menyumbang kepada peningkatan kunjungan orang ramai ke Kompleks Kraf,” katanya.
Salah satu tarikan utama di KCCM 2024 adalah Pasar Saloma, iaitu sebuah platform niaga untuk usahawan Industri Kecil dan Sederhana (IKS) yang mengetengahkan konsep perkampungan Melayu klasik. Pasar Saloma akan hadir dengan tema nostalgia, di mana lebih daripada 30 reruai akan menampilkan peniaga berbusana tradisi sambil menawarkan pelbagai jualan seperti juadah tradisional, dan produk-produk unik yang digemari sejak turun-temurun.
Selain menikmati tawaran menarik dari Pasar Saloma, acara ini turut dimeriahkan dengan persembahan artis, tarian kebudayaan, demonstrasi kraftangan, pertunjukan roti canai terbang, serta cabutan bertuah. Pengunjung juga berpeluang menyertai pelbagai aktiviti interaktif seperti permainan tradisional dan aktiviti hiburan lain, menjadikan karnival ini destinasi ideal untuk seisi keluarga sambil merancang percutian domestik.
Selain itu, KCCM 2024 turut disertai oleh pelbagai jabatan dan agensi di bawah Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya seperti Jabatan Warisan Negara, Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara, Istana Budaya, Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan, Kraftangan Malaysia, Lembaga Pembangunan Seni Visual Negara, serta Hotel Seri Malaysia.
Selain itu, untuk memastikan keselesaan para pengunjung, perkhidmatan shuttle disediakan dengan laluan dari tempat letak kereta Malaysia Design Development Centre (DDEC) dan MATIC terus ke Kompleks Kraf. Pengunjung juga boleh memanfaatkan kemudahan pengangkutan awam, termasuk MRT yang berhenti di Stesen Jalan Conlay, serta Bas KL Hop-On Hop-Off (KL HOHO) yang turut berhenti di hadapan Kompleks Kraf.
Pengunjung turut berpeluang mendapatkan pemeriksaan kesihatan di Klinik Bergerak yang disediakan, menawarkan perkhidmatan pemeriksaan secara mudah alih. Klinik ini dilengkapi dengan kemudahan untuk pemeriksaan umum dan rawatan kecil bagi orang ramai.
Mendepani Tahun Melawat Malaysia 2026, Tourism Malaysia akan memperhebatkan usaha promosi dan pemasaran pelancongan domestik untuk merancakkan lagi aktiviti pelancongan, dengan sasaran mencapai 220 juta pelawat domestik pada tahun 2024. Usaha ini selaras dengan hasrat kerajaan untuk memastikan pertumbuhan sektor pelancongan yang mampan dan menyumbang kepada ekonomi negara.
© 2019 Copyright JomEvents. All rights reserved